Zaiza Batik Perlis
Monday, October 18, 2010
Utusan Malaysia Online - Utara
Bazar Kraf Perlis bantu usahawan
KANGAR 19 Okt. - Rata-rata usahawan tempatan berbangga dengan langkah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis (PKKM Cawangan Perlis) menganjurkan Promosi Bazar Kraf Perlis 2009 (Bazar Kraf Perlis 2009) di Dataran Usahawan, Jalan Kampung Bakau di sini pada 24 dan 25 Oktober ini.Mereka yang terdiri daripada usahawan kraf itu sebenarnya sudah lama menanti peluang sedemikian bagi membolehkan kumpulan tersebut mempromosi dan memasarkan hasil kerja tangan masing-masing untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
Pada masa sama, golongan terlibat juga meminta pihak lain mencontohi PKKM Cawangan Kangar untuk menganjurkan bazar sedemikian bagi membantu mempromosikan produk kraf tangan tempatan.
Salah seorang daripadanya, Arifah Ya, 43, dari Kuala Perlis di sini menyatakan, ketika menyertai bazar tersebut dia akan mengambil kesempatan untuk berkongsi perniagaan dengan usahawan dari Kedah, Perak dan Pulau Pinang.
Pengurus Syarikat Hary Art And Craft yang berniaga di Bazar Hotel Brasmana, Kuala Perlis itu memberitahu, antara barangan yang akan dijual nanti termasuklah cenderamata seperti pemegang kunci yang berasaskan kayu.
Usahawan kraf tangan sejak enam tahun lalu itu percaya melalui bazar berkenaan beliau dapat memperbesarkan lagi pasaran produknya ke luar Perlis terutama Kedah, Perak dan Pulau Pinang.
Pengurus Liznim Kraf Enterprise, Izfah Hanim Abdullah, 27, pula memberitahu, dia menyertai bazar itu untuk memasarkan barangan seperti kertas buatan tangan dan paper clay yang menjadi pilihan wanita.
Usahawan belia yang berpejabat di Jalan Raja Syed Alwi di sini itu mengakui produk yang akan dipasarkan nanti adalah hasil kerja tangan penduduk tempatan dengan harga berpatutan.
Pengurus dan Pereka Zaiza Art Collection Handraw Batik, Zainiza Zaid, 28, pula yakin Bazar Kraf Perlis 2009 itu akan menjadi tumpuan para peminat produk kraf tangan.
Bekas penuntut Institut Kraf Negara di Rawang, Selangor itu berkata, melalui bazar berkenaan beliau dapat menjalinkan kerjasama dengan usahawan dari beberapa negeri untuk memperbesarkan lagi saiz perniagaan masing-masing.
Pengurus Sensasi Batik Asfa, Fauzi Mamat, 43, pula memberitahu, dia akan memasarkan beberapa produk berasaskan batik asli di bazar tersebut bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.
Katanya, antara hasil kerja tangan yang akan dibawa ke sana nanti selain kain batik untuk pakaian lelaki dan wanita, beliau juga menyediakan pelbagai barangan kraf tangan yang berasaskan batik tempatan.
Subscribe to:
Posts (Atom)